Thursday, March 6, 2014

SALAM UKHWAH DARI MAMA

Teks : Nurul Suhada Basir
Foto : Koleksi Sendiri

Assalamualaikum warahmatullah kepada para pembaca. Salam perkenalan dari saya, Nurul Suhada Mohamad Basir, isteri kepada Mr. Hadi, mama kepada ‘Ainnur Sumayyah (Cik Su) dan Aisyatun Syafiyah(Aisya). Puan Suhada ini dilahirkan di negeri Pahang, bersekolah juga di Pahang, dan boleh dikatakan anak jati Pahang. Berkahwin pun dengan orang Pahang, sekampung lagi, anak-anak pun setakat ini mykid 06, lahir di Pahang. ‘Hitam Putih Takkan Padam’ katanya.

Saya bersama suami dan anak-anak

kesayangan saya

Alhamdulillah, umi dan arwah abah sudah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik di mana mereka telah memberikan pendidikan yang terbaik untuk saya. Selepas sekolah menengah, saya sambung belajar di Kolej Matrikulasi Pahang. Kemudian saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Awam di UKM, Bangi sehingga saya memperoleh Master dalam bidang berkenaan. Terima kasih pada seluruh keluarga dan suami tercinta yang sentiasa menyokong saya. Saya hanya pernah bekerja sebagai pensyarah di bidang ini selama setahun setengah sahajaSelepas kelahiran anak kedua, umi mengajak saya pergi ke seminar ‘Advanced Marketing Power (AMP)’ yang dianjurkan oleh Kumpulan Richwork dan Dr. Azizan Osman sebagai guru di seminar tersebut. Saya juga pernah mengikuti seminar Intensif Jutawan Bakeri oleh guru Siti Hajar atau boleh dikenali sebagai Meksiti.

Selepas habis master, saya pernah bekerja sebagai Pensyarah Sambilan Sepenuh Masa di UiTM Pahang. Skim pensyarah ini perlu diperbaharui bagi setiap semester dan jika mengandung, tidak boleh menyambung kontrak. Oleh itu, selepas saya melahirkan Cik Su, saya pernah menjalankan perniagaan menjual ‘waffle’. Tapi hanya bertahan selama sebulan lebih sebab keuntungan tiada selepas dikira-kira. Mungkin disebabkan tiadanya ilmu perniagaan dan sistem yang betul. Kemudian, saya sambung kembali menjadi pensyarah sehingga saya mengandungkan Aisya. Namun, saya tidak perbaharui kontrak sebagai pensyarah. Selepas kelahiran Aisya, saya berjinak-jinak dalam dunia perniagaan di mana saya menjual tepung kek segera pula.

Bidang perniagaan bukanlah satu bidang asing dalam keluarga saya kerana belah umi saya, kebanyakannya berlatar belakangkan perniagaan sebagai sumber pendapatan mereka. Atuk saya sudah mempunyai kedai sendiri sejak dari umi saya kecil lagi, dan sekarang diwarisi oleh adik-beradik umi saya. Saya pernah juga membantu mereka bekerja di kedai tersebut. Cuma, minat dalam perniagaan itu masih belum tebal dalam diri ini, sehinggalah saya pergi ke seminar AMP baru-baru ini. Perasaan mahu berniaga itu membuak-buak dalam diri ni.

Saya seorang yang suka masak.  Alhamdulillah, saya dikurniakan suami dan ibu mertua yang pandai masak dan masakannya memang super sedap. Selain dari memasak, saya sangat berminat dalam bidang bakeri. Minat buat kek, apatah lagi kalau tengok kek yang cantik-cantik. Sebenarnya, selepas habis ijazah, saya bercita-cita nak buka kedai kek sendiri dek kerana terlalu minat makan kek.

Selepas dah mempunyai anak ni, saya suka cari bahan bacaan tentang penjagaan anak. Selain daripada itu, saya gemar membaca dan membuat kajian mengenai pemakanan natural dan semulajadi, kebaikan makanan sunnah, dan juga mencari resipi-resipi masakan. Tidak ketinggalan buku-buku bisnes juga menjadi keutamaan saya sekarang. Apa yang saya baca ini, InsyaAllah saya akan kongsikan dengan pembaca di blog ini.


Terima kasih Allah, terima kasih Mr. Hadi, terima kasih umi abah, terima kasih anak-anak, terima kasih mentor, terima kasih guru, terima kasih kaum keluarga, terima kasih rakan-rakan. Alhamdulillaah. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW.

No comments:

Post a Comment